KUALA LUMPUR: Pemberian bakul makanan bukan hanya bertujuan memastikan penghuni mempunyai makanan di atas meja tetapi juga pintu masuk kepada penyelesaian pelbagai isu lain.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, hasil daripada pemberian bakul makanan, kementeriannya menemukan pelbagai isu yang perlukan pemerhatian dan intervensi pihaknya.

Katanya, pemberian bakul makanan kepada isi rumah merupakan tindakan serampang dua mata terhadap keganasan domestik.

“Waktu kita hantar bakul itu, bukan sekadar hantar kemudian balik, tapi bila kita hantar kita nampak rupanya ada yang didera.

“Daripada situ, kita akan tahu berkenaan mereka ini didera tetapi disebabkan duduk serumah tak boleh keluar jadi tak boleh meluahkan, nak hubungi sesiapa tak boleh dan sebagainya... ada kekangan di situ,” katanya dalam temubual bersama AWANI Pagi pada Jumaat.

Selain talian kasih, pihaknya juga turut memperkenalkan talian bantuan keluarga di talian 1800 820 300 yang memberikan perkhidmatan tele-kaunseling dan e-kaunseling terhadap pasangan suami isteri.

Katanya, sejak dilancarkan 30 Oktober lalu sebanyak 640 kes telah berjaya diselesaikan.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kementeriannya juga telah menubuhkan Skuad Waja dalam memberikan bimbingan psikososial kepada mereka yang terkesan dengan keganasan domestik.

“Skuad Waja ini akan diberi bimbangan psikososial, mereka terdiri daripada orang yang dekat dengan kita supaya kita dapat membimbing wanita unuk membantu wanita.

“Bukan sahaja wanita, ada juga permintaan dari kaum lelaki untuk menyertai Skuad Waja. Setakat semalam dan sejak ia dilancarkan kita mempunyai 80,833 ahli Skuad Waja dan 1,200 daripadanya terdiri daripada kaum lelaki”, jelas Rina lagi.

Penubuhan Skuad Waja dan talian bebas tol talian bantuan keluarga merupakan antara usaha yang dijalankan dalam tempoh 100 hari sejak menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.